Dalam artikel kali ini kami nak kongsikan dengan anda beberapa barangan komputer yang naik harga pada PKP tahun lepas. Sejujurnya untuk 2 minggu pertama PKP tahun lepas, kami tak dapat kesan sebarang kenaikan harga barang. Tapi bila masuk sahaja minggu yang ketiga, semua barang boleh dikatakan laku keras. Waktu tu kalau anda tanya pemilik kedai komputer, mereka yang ada stok barangan komputer boleh jadi kaya. Jadi agak-agak anda barang komputer apa yang naik harga pada PKP tahun lepas? Jom !

1. WEBCAM


Barangan pertama yang naik harga semasa PKP tahun lepas adalah webcam. Sebelum PKP kalau kami letak webcam ni atas rak memang sampai berdebu sebab tiada orang nak beli pun webcam ni. Sebabnya kalau anda beli laptop, ia dah siap datang sekali dengan webcam. Tapi semasa PKP memang habis stok webcam di kedai kami. Anda bayangkan model webcam dari Logitech iaitu model Brio resolusi 4k yang berharga sekitar RM600-RM800 terus meroket harganya sehingga RM2,000. Kalau anda beli stok sebelum PKP dan jual semula pada PKP anda akan dapat untung sebanyak RM1,200. Nak dapat untung sebanyak tu kalau anda jual laptop, anda kena jual model yang berharga RM15,000 baru anda akan dapat untung sebanyak tu. Webcam ni naik harga disebabkan arahan Work From Home (WFH) dan untuk pelajar yang kena belajar dari rumah.

2. PRINTER

Barangan kedua ni pula iaitu printer berkait dengan pelajar yang terpaksa belajar dari rumah tadi. Printer model Canon E410 merupakan model printer yang basic 3 in 1 boleh print, scan dan copy yang biasa boleh didapati dengan harga RM99 di PC Fair dan harga biasa model ni adalah RM189. Tapi semasa PKP tahun lepas harganya naik sehingga RM259. Permintaan untuk model printer ni jadi tinggi sebab pelajar-pelajar tadi memerlukan printer untuk print kerja rumah dan tunjukkan kepada cikgu-cikgu mereka. Semasa PKP kami mempunyai lebih kurang 500 unit model printer Canon E410 tadi. Untuk 2 minggu pertama memang printer ni tak laku sangat, tapi masuk minggu ketiga memang habis semua stok. Dan bila kami nak restock pula, supplier maklumkan yang lori mereka tak gerak. Jadi kalau kami nak dapatkan stok kami kena sewa lori, upah pemandu untuk ambil sendiri stok di gudang mereka dan bawa ke kedai kami. Disebabkan itu harga printer menjadi sedikit mahal.

3. INK

Disebabkan permintaan yang tinggi terhadap printer, maka permintaan untuk ink juga meningkat

4. OTG 

Ketika PKP tu juga permintaan untuk OTG adapter, Micro Usb to Usb turut naik harga sebab mereka nak print direct dari smartphone ke printer.

5. LAPTOP 

Untuk laptop ni pula, kenaikan harga yang berlaku sebenarnya bukan semasa PKP tapi sebelum PKP lagi. Bila Covid-19 tercetus di Wuhan, harga laptop dah naik iaitu untuk harga laptop HP. Sebabnya kilang HP berada di Wuhan. Bila Wuhan dah lockdown, kilang HP dah tak boleh beroperasi. Kenaikan harga laptop ni bukan secara melampau semasa PKP. Sebelum PKP anda boleh dapatkan laptop intel Celeron dengan harga RM1399 sahaja, semasa PKP ia naik jadi harga RM1699. tapi kemuncak kenaikan harga untuk laptop ni adalah akhir tahun lepas yang mana intel Celeron untuk HP adalah RM2299. Cuma harga sekarang dah jatuh sikit dan kembali ke harga RM1699.

BARANG YANG SANGAT LAKU SEMASA PKP TAHUN LEPAS

1. MIKROFON 

Barang yang pertama adalah mikrofon. Kenapa mikrofon ni jadi sangat laku semasa PKP hari tu? Sebabnya masa tu semasa PKP ramai nak jadi macam Soloz, ramai yang nak jadi streamer nak buat duit dengan streaming. Tapi selepas seminggu beli webcam, beli mikrofon tapi view tak naik-naik mereka terus putus asa. Tapi memang ramai yang beli mikrofon untuk jadi YouTuber. Model Boya BY-M1 yang kami cek dengan 1 kedai ni sebelum PKP mereka dah jual sebanyak 1,500 unit tapi semasa PKP dalam tempoh 2 bulan tu mereka mampu jual sebanyak 3,500 unit.

2. MONITOR

Barang kedua yang laku keras adalah monitor mungkin mereka yang Work From Home nak guna dual skrin, 1 monitor dan 1 laptop. Bila kami publish video pasal monitor gaming dari Philips, video tu memberi pendapatan affiliate yang paling tinggi dan stok monitor tu di Monaliza memang licin. Dan untuk monitor, harganya akan terus naik. Jika anda berhajat untuk beli monitor, kami nasihatkan untuk anda beli sekarang sebab harganya akan terus naik bermula dari sekarang. Ini disebabkan panel untuk monitor tu mengalami shortage dan kita akan nampak kesannya pada monitor, laptop dan smartphone. Barangan yang ada panel LCD, LED akan terus naik harga. Khabar angin yang kami dengar Samsung akan menutup kilang LCD mereka di China pada Bulan Mac tahun ini yang sepatutnya dah tutup pada Bulan November tahun lepas. Kenapa mereka nak tutup? Bukan disebabkan permintaan yang rendah tapi mereka nak beralih ke teknologi yang lagi power.

3. LIGHTING 

Barangan lighting ni merangkumi semua model termasuk la ring light dan studio light. Kedua-dua lampu ni memang laku keras semasa PKP tahun lepas untuk kegunaan streamer, YouTuber dan cikgu-cikgu yang nak buat kelas secara online untuk nampak lebih professional. Ada juga yang beli sekali dengan green screen, yang ni biasanya harganya tak begitu mahal sangat.

Jadi ini adalah beberapa barangan yang naik harga dan beberapa barangan yang laku keras semasa PKP tahun lepas. Mungkin anda dah boleh buat senarai barangan apa yang anda perlu beli untuk PKP kali ini. Kami rasa PKP kali ini bukan untuk 2 minggu sahaja, mungkin akan bersambung untuk sebulan atau 2 bulan juga.

monalizavlog

View all posts

Add comment

Your email address will not be published.