Kalau bercerita bab laptop mana yang patut dibeli mungkin sedikit sukar untuk diperkatakan. Tengok saja dipasaran, bermacam-macam model dengan spesifikasi yang ditawarkan.
Bagi pelajar pula, ada yang mahukan laptop sekadar untuk membuat tugasan disamping melayari internet. Ada juga yang mahukan komputer yang lebih dari itu. Jadi sebelum mengeluarkan sejumlah duit, mungkin korang boleh lihat apa faktor atau perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum membeli laptop.
1. Kenali dahulu sistem operasi yang dimahukan (Windows 10, MacOS atau ChromeOS)
Kalau korang ke kedai, mungkin ada tiga jenis sistem operasi yang ditawarkan. Kebanyakkannya pastilah dari Microsoft iaitu Windows 10, atau jika memilih produk Apple, korang akan dapat MacOS atau sistem operasi yang mungkin sesetengah dari anda kurang maklum, ChromeOS.
- Windows 10 – Dibangunkan oleh Microsoft dan ia mengambil alih kedudukan Windows 7 sebagai sistem paling popular diseluruh dunia. Banyak perisian serasi digunakan dengan sistem operasi ni. Kemaskini yang akan datang juga ada menjanjikan penambahbaikan daripada ciri sedia ada macam Hub untuk aplikasi Office, Intelligent Actice Hours untuk ciri Windows Update yang tak menyusahkan pengguna dan beberapa lagi.
- MacOS – Kesemua komputer jenama Apple didatangkan sistem operasinya yang tersendiri. Paling terkini adalah MacOS Mojave. Kalau korang sudah biasa guna Windows, minggu pertama guna MacOS mungkin agak kekok sedikit tetapi dirasakan sistemnya lebih mesra pengguna.
- ChromeOS – Sistem ni dibangunkan oleh Google dan ia berasaskan pelayar web Chrome. Lebih sesuai untuk tugasan-tugasan ringan.
2. Saiz laptop
Salah satu faktor penting bagi sesetengah orang. Dari ukuran 11.6 inci hinggalah sebesar 17.3 inci. Kebanyakkan jenama terkenal menyediakan laptop dengan saiz 13 inci hingga ke 17 inci.
Jika korang jenis yang melakukan kerja dibanyak tempat, 13 inci sangat sesuai. Tetapi harus diingat tak semua model dengan saiz ni menawarkan cip yang berkuasa seperti cip Intel Core i7 atau kad grafik yang lebih baik.
Ultrabook – Biasanya tebal lebih kurang 0.7 inci dan kebawah disamping menyalurkan prestasi yang tinggi.
Notebook – Kombinasi antara mudah alih dan prestasi. Saiz sudah pasti lebih besar sedikit dari Ultrabook.
Laptop 2-in-1 – Boleh dijadikan sebagai laptop atau tablet apabila dipisahkan dari papan kekunci. Sistem operasi menyokong ciri sentuhan
Gaming – Jenis ni biasanya berat dengan rekabentuk kompak. Dikuasakan dengan perkakasan dalaman berprestasi tinggi membolehkan pengguna menjalankan permainan bergrafik tinggi.
3. Papan kekunci
Spesifikasi baik tak bermakna papan kekuncinya sedap digunakan. Ada pelbagai jenis susun atur papan kekunci yang boleh dipilih, sama ada yang bersaiz penuh diiringi butang nombor atau yang lebih kecil sedikit.
Bagi yang banyak bermain dengan nombor pasti mahukan butang nombor ditepi, tetapi yang lebih kerap menaip mungkin tidak mungkin menyukainya kerana akan terkeliru dengan butang anak panah.
Lebih elok jika memilih yang mempunyai ciri cahaya, backlit. Lebih mudah digunakan pada waktu gelap.
4. Jenis pemproses
Perkara yang paling penting ketika memilih sesebuah laptop. Cip pemproses atau CPU ibarat “otak” kepada laptop. Kalau korang membuat tugasan dan bermain game biasa, tak perlulah bersusah payah memilih CPU aras tinggi.
Kalau mahukan cip dari Intel ada tiga jenis yang boleh dipilih, Intel Core i3, i5 dan i7. Masing-masing berbeza dari segi harga dan prestasi. Intel Core i5 dah memadai dan sedap dipakai untuk korang.
Dekat hujung versi model tu ada huruf seperti U dan Y. Contohnya seperti Intel Core i5-7200U. Kebanyakkannya adalah dari jenis U dan kalau Y, ia berkuasa rendah dan prestasi kurang memberangsangkan. Kalau Intel Core i7, hujung nama model tu ada HQ atau K yang gunakan kuasa lebih tinggi.
Selain Intel ada lagi CPU macam AMD Ryzen. Banyak ulasan cakap ia mantap untuk gaming, tapi korang tunggu kerja dululah baru beli.
5. RAM
Memori RAM diperlukan untuk membolehkan korang menjalankan pelbagai perisian atau aplikasi dalam waktu yang sama. Disamping sistem dapat mengakses data dengan lebih pantas.
Dengan perisian dan pengalaman penggunaan zaman sekarang, kapasiti RAM yang sesuai sekurang-kurangnya adalah 8GB.
Kalau banyak jalankan aktiviti berat atau bermain game, RAM 16GB atau keatas untuk prestasi dan pengalaman yang betul-betul padu.
Add comment