Sebenarnya untuk artikel kali ini kami nak review pasal laptop gaming terbaru dari Asus iaitu Asus Tuf Dash F15 yang menggunakan graphic card RTX3070. Tapi bila kami cuba main game dengan laptop ni, kami dapat satu prestasi yang tak sepadan dengan harga yang ditawarkan iaitu RM7,+++. Kami bimbang juga mungkin kami tersilap setting sehingga dapat prestasi yang rendah, tapi bila kami sahkan dengan pihak Asus berkenaan data, fps yang kami dapat tu memang betul. Maksudnya memang prestasi untuk Asus Tuf Dash F15 ni rendah. Cuma ada beberapa perkara yang kami patut maklumkan pada anda dan anda wajib tahu sebelum beli mana-mana model laptop gaming yang menggunakan graphic card Nvidia siri RTX30. Jom !

REKA BENTUK

Sebelum kami terangkan apa sebenarnya masalah yang berlaku pada Asus Tuf Dash F15 ni, kami akan kongsikan dulu serba sedikit berkaitan laptop ni dan prestasinya. Untuk Asus Tuf Dash F15 ni mula-mula sekali Asus tukar logo yang lama sebelum ni kepada 1 logo yang baru yang lebih simple dan minimalist. Di bahagian belakang laptop ni ada tulis TUF yang bagi kami kurang kena dengan tema minimalist tadi tapi okay je sebenarnya. Jika anda perhati pada reka bentuk Asus Tuf Dash ni seolah-olah Asus cuba kejar reka bentuk yang nipis dan ringan seperti Zephyrus. Memang kalau kami bandingkan laptop ni dengan Asus Tuf yang kami guna iaitu Asus Tuf A15, Asus Tuf Dash ni lebih nipis. Keyboard model ni pun tiada numpad, dengan bahagian kiri dan kanan lebih kosong.

Layout yang digunakan pada Asus Tuf Dash ni sama dengan layout pada Asus Zephyrus G14. Di bahagian atas function buttons terdapat 4 dedicated buttons untuk volume, mikrofon dan asus armory crate. Seperti biasa key untuk W, A, S dan D sedikit pelik dari key yang lain. Keyboard model ni menyala dengan One-Zone RGB yang mana kami agak terkejut sebab harga yang ditawarkan adalah RM7,+++ tapi hanya dapat One-Zone RGB sahaja. Skrin Asus Tuf Dash ni pula jenis bezel yang nipis dan kaca jenis matte dan srgb 100%. Untuk skrin ni setakat ni kami tak hadapi masalah warna seperti yang kami hadapi di Asus Tuf A15. Untuk gaming refresh rate skrin model ni 240Hz, 3ms response time dan juga ada adpative sync.

Port IO

Untuk sambungan input output pada laptop ni pula bagi kami memang lengkap. Di bahagian kanan ada 2 port Usb Type-A 3.2 Gen 1 dan di sebelah kiri ada power jack di bahagian tengah, port Gigabyte LAN, Hdmi, Usb Type-A 3.2 Gen 1, 1 Usb Type-C yang menyokong Thunderbolt 4 dan ada combo audio jack.

SPESIFIKASI 

Untuk Asus Tuf Dash yang kami review ni ia menggunakan processor Intel I7-11370H, RAM dah datang dengan 16GB jadi anda tak perlu upgrade dah, NVME SSD 1TB untuk storage dan graphic card seperti yang kami maklumkan awal-awal tadi iaitu RTX3070 GDDR6.

PRESTASI

Ini adalah graf prestasi untuk Asus Tuf Dash yang kami dapat. Secara jujurnya kami tak jangka akan dapat keputusan yang macam ni. Kami faham yang kami tak boleh nak samakan graphic card desktop PC dengan graphic card laptop tapi prestasi ni bagi kami sangat teruk. Anda bayangkan kalau kami main game control, kami ON Ray Tracing kadang-kadang ia jatuh sehingga 20fps yang mana sangat sangkut. Rasanya laptop yang guna siri RTX20 jauh lebih bagus dibandingkan dengan Asus Tuf Dash F15 ni. Secara jujurnya kami cuak juga dengan keputusan yang kami dapat ni, kami bimbang kalau-kalau kami tersalah setting seperti terlupa RTX ON atau terlupa update driver tapi seperti kami maklum awal-awal tadi kami sudah rujuk kepada pihak Asus dan mereka sahkan data kami betul.

ANDA PATUT TAHU !

Selepas pihak Asus terangkan, kami ada buat sedikit kajian, kami baca review dan tengok video orang lain kami dapat simpulkan 2 perkara yang kami rasa kami patut kongsikan dengan anda. Yang pertama untuk laptop-laptop yang datang dengan graphic card siri RTX30 ni, Nvidia tak benarkan mana-mana jenama tak kisah jenama Asus, Acer, HP, Lenovo atau Dell mereka tak benarkan jenama-jenama ni labelkan graphic card mereka sebagai Max-Q atau Max-P. Kalau dulu bila kita nak beli laptop gaming yang nipis, untuk prestasi yang okay kita akan cari yang Max-P yang bermaksud Maximum Performance. Kalau kita nak laptop gaming nipis tapi nak yang bateri tahan lama, lebih senyap dan tak keluarkan haba yang tinggi, kita boleh cari model Max-Q.

Tapi untuk sekarang kita dah tak boleh tahu pasal benda ni, Nvidia tak benarkan mana-mana jenama untuk labelkan laptop mereka sama ada Max-Q atau Max-P. Ada 2 cara untuk kita tahu sama ada laptop yang kita nak beli tu prestasinya mantap atau tak. Yang pertama anda kena tengok review. Anda kena buka YouTube atau buat carian di Google dan baca review berkaitan model laptop yang anda nak beli tu. Yang kedua, anda kena tanya kawan anda yang pernah guna model laptop tu. Sejujurnya para penjual pun tak tahu berkaitan masalah ni.

Tapi persoalannya sekarang, kenapa Nvidia buat macam tu? Untuk lebih faham tindakan Nvidia ni kita kena tengok pada perkembangan teknologi graphic card tu sendiri. Setiap kali graphic card baru keluar, saiz graphic card tu akan jadi makin besar sebab ia akan guna lebih banyak power dan ia perlukan teknologi untuk sejukkan graphic card tu. Tapi untuk graphic card desktop PC tiada masalah sebab kita boleh ubah saiz desktop tu, saiz casing tu. Tapi berbeza dengan graphic card untuk laptop. Makin hari orang nak laptop yang makin nipis, jenama pun terkejar-kejar nak keluarkan laptop yang makin nipis, semakin tahan bateri dan semakin sejuk yang mana ini berlawanan dengan perkembangan graphic card tu sendiri.

Jadi apa yang Nvidia boleh buat supaya dapat kekal dengan kehendak pelangan, mereka kecilkan power consumption untuk graphic card tu. Mereka rendahkan TDP graphic card dan kesannya prestasi juga akan rendah seperti yang berlaku pada Asus Tuf Dash F15 ni. Sebenarnya kalau anda baca review dan ulasan, ada juga sesetengah yang salahkan motherboard H35 Intel 11th gen katanya motherboard tu tak mampu nak bagi power yang cukup untuk graphic card sebab tu prestasi jadi rendah. Tapi pendapat peribadi kami merasakan masalah ini berpunca dari TDP tadi. Penerangan tentang masalah TDP tu jauh lagi tepat dari masalah motherboard. Tak pelik kalau lepas ni kita survey laptop kita dapati prestasi laptop yang guna graphic card RTX3060 jauh lagi power daripada model yang guna graphic card RTX3070.

Sebenarnya jenama-jenama ni mampu sampaikan mesej kepada pengguna berkaitan model laptop mana yang mantap, model laptop mana yang kurang mantap dengan cara mereka tunjuk jadual TDP. Walaupun sebenarnya salah kalau kita katakan semakin tinggi TDP semakin tinggi prestasi laptop tu. Tapi kita boleh ambil ia sebagai satu imej untuk menyatakan laptop tu power. Secara umum bila makin tinggi TDP, makin banyak power yang akan digunakan, makin tinggi haba yang dibebaskan dan semestinya prestasi semakin mantap. Bagi pendapat anda pula macam mana? Adakah Nvidia bersalah dalam hal ni?

Berbalik kepada Asus Tuf Dash F15 ni, prestasi laptop ni tak tinggi sangat dan kita tak boleh nak salahkan Asus sepenuhnya dalam kes kali ini. Sebab kita akan jumpa masalah yang sama pada jenama-jenama lain seperti Acer, HP, Lenovo, Dell dan lain-lain. Ini bukanlah masalah jenama tapi masalah pada Nvidia tadi.

monalizavlog

View all posts

Add comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *